1. APAKAH DOKTOR MUDA?
Doktor Muda merupakan pelajar
sekolah tahun 4, 5 dan 6 yang terpilih dan terlatih sebagai ’Pembimbing Rakan
Sebaya’, yang bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan pengetahuan, sikap
dan amalan kesihatan yang positif di kalangan pelajar sekolah.
Doktor Muda ini diberi
latihan mengenai asas kesihatan bagi menyediakan mereka menjadi pendidik kepada
rakan sebaya. Mereka bertindak sebagai role model, promoter dan motivator
kesihatan kepada rakan-rakan di sekolah.
Oleh kerana itu, pemilihan
calon yang sesuai sebagai doktor muda amat penting. Lazimnya, pelajar yang,
berminat, sihat, kemas, berpersonaliti menarik, memiliki sifat kepimpinan,
bertanggung jawab, berpengaruh, suka menolong dan cemerlang dalam akademik menjadi
kriteria dalam pemilihan Doktor Muda.
2. SIAPAKAH PENGASAS?
Pelaksanaan Program Doktor Muda sebagai aktiviti promosi kesihatan di peringkat sekolah rendah merupakan hasil cetusan idea Tuan Haji Abdul Jabar bin Ahmad, Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pada tahun 1989, semasa
menjawat jawatan Pegawai Pendidikan Kesihatan (Penyelidikan dan Pembangunan) di
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, beliau telah memperkenalkan Program Doktor
Muda di Sekolah Kebangsaan Seri Biram, Pekan, Pahang.
Program ini terus
diperkembangkan ke sekolah-sekolah rendah seluruh negeri Kelantan apabila
beliau ditukarkan ke Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk menjawat jawatan
Pegawai Pendidikan Kesihatan (Perkhidmatan) pada tahun 1989 hingga 1994.
Program Doktor Muda ternyata
membawa banyak manfaat kepada murid dan sekolah.
Justeru program ini dari
tahun ke tahun telah berkembang ke seluruh negara. Pada Mei 2006, Kementerian
Pelajaran Malaysia telah menerima program ini sebagai aktiviti kokurikulum di
sekolah rendah dan dikenali sebagai Kelab Doktor Muda.
Berpegang kepada prinsip
bahawa ‘membentuk
tabiat kesihatan yang baik di peringkat kanak-kanak adalah lebih mudah daripada
menukar tabiat kesihatan yang buruk di peringkat dewasa’, Tuan
Haji Abdul Jabar sentiasa menyumbangkan idea bagi memastikan program ini terus
berjaya dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah.
Atas jasa dan komitmen
terhadap program Doktor Muda, Tuan Haji Abdul Jabar bin Ahmad telah dikurniakan
Anugerah Tokoh Penggerak Doktor Muda pada Konvensyen Doktor Muda Peringkat
Kebangsaan Kali Kedua tahun 2006.
3. OBJEKTIF
- Untuk membentuk tabiat kesihatan
di kalangan murid sekolah rendah dengan meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran asas kesihatan mereka agar mereka dapat :
- Mengamalkan cara hidup sihat
- Menjadi pembimbing dan pendorong
kepada rakan sebaya dan anggota keluarga ke arah mengamalkan cara hidup
sihat.
- Membantu anggota kesihatan dan
pihak sekolah dalam menjalankan aktiviti kesihatan di sekolah.
- Menggalakkan ibu bapa atau penjaga
supaya memberi perhatian wajar kepada kesihatan anak-anak.
- Memperkukuhkan penglibatan guru
serta warga sekolah lain dalam usaha meningkatkan kesihatan pelajar.
- Mempertingkatkan kerjasama antara
Jabatan Kesihatan dengan Jabatan Pendidikan dalam menggalakkan amalan
kesihatan yang baik di kalangan murid sekolah rendah.
4. AKTIVITI
- Menyampaikan maklumat kesihatan
kepada rakan sebaya.
- Membimbing ke arah cara hidup
sihat.
- Membantu mewujudkan persekitaran
sekolah yang bersih, sihat dan selamat.
- Membantu anggota kesihatan dan
pihak sekolah dalam aktiviti perkhidmatan kesihatan sekolah.
- Pemberitahuan kejadian penyakit /
masalah kesihatan.
- Merawat kecederaan ringan.
- Mencatat aktiviti yang dijalankan
ke dalam buku laporan.
5. FAEDAH PELAKSANAAN
- Tabiat kesihatan dapat dipupuk di
kalangan murid di peringkat sekolah rendah.
- Murid sekolah mendapat pengetahuan
dan kemahiran asas kesihatan.
- Murid belajar menghargai
kesihatan.
- Doktor Muda memperolehi dan
mengamalkan kemahiran berkomunikasi.
- Memupuk sifat kepimpinan dan
keyakinan di kalangan doktor muda.
- Doktor muda mendapat pengalaman
membantu pasukan kesihatan sekolah.
- Kesihatan asas murid – kebersihan
diri & penyakit kulit dipantau.
- Mencegah berlakunya keracunan
makanan, penyakit berjangkit.
- Murid akan bentuk sikap positif
terhadap anggota kesihatan dan perkhidmatan kesihatan.
- Sekolah bersih
- Sekolah bebas Aedes
- Imej sekolah meningkat
* Sumber bacaan : http://www.drmuda.gov.my/drmuda